KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO mengemukakan empat cadangan dalam menstabilkan semula bekalan ayam dalam negara.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara cadangan yang dikemukakan itu termasuk memberi bantuan khas kepada penternak-penternak tempatan yang terpaksa gulung tikar akibat tekanan daripada kartel ayam.

"Bagi menyegerakan pengimportan ayam daripada negara jiran seperti Thailand, selain daripada pemansuhan Approved Permit (AP) oleh kerajaan, dicadangkan satu agensi khas seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diwujudkan segera.

"Ini bagi memastikan keupayaan pihak pengimport dari pelbagai segi termasuk kuantiti dan dana terjamin agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak pembekal di Thailand hingga akhirnya terpaksa kembali bergantung kepada syarikat-syarikat kartel yang besar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar satu pelan jangka panjang dengan perincian dasar, hala tuju dan mekanisme pelaksanaan yang jelas  diperkenalkan oleh kerajaan.

"Sebagai contoh, dasar penanaman jagung bagi tujuan memenuhi bekalan dedak mesti jelas termasuk dari segi pengawalan harga, pemberian subsidi dan pembangunan bersepadu yang komprehensif bagi memastikan harga jagung yang dibekalkan kelak adalah kompetitif berbanding import dari Brazil dan Argentina yang ternyata punya kelebihan dari segi skala ekonomi," jelas beliau.

Akhir sekali, Asyraf Wajdi juga mencadangkan agar Lembaga Pembangunan Unggas Negara (LPUN) turut diwujudkan agar satu dasar yang komprehensif dan tindakan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian dapat dilaksanakan.

Kata beliau, tindakan ini sekali gus memastikan seluruh rantaian bekalan ayam dari aspek penternakan hingga ke peringkat penjualan dan pengeksportan terpelihara dari segi harga, kualiti dan bekalan semasa.

BACA: Isu bekalan ayam: Kerajaan henti eksport ayam, wujudkan stok penimbal - Ismail Sabri

Terdahulu, kerajaan mengambil keputusan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan, bermula 1 Jun ini, sehingga harga dan pengeluaran ayam untuk kegunaan domestik kembali stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin berkata, keputusan itu merupakan antara beberapa langkah jangka pendek yang dicapai mesyuarat Kabinet terhadap isu bekalan dan harga ayam.

Turut digariskan ialah pemansuhan AP ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam; mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam; serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan ayam di luar negara.